KUALA LUMPUR, 27 Jan: Prestasi perdagangan Malaysia pada 2024 terus merekodkan peningkatan apabila mencecah nilai tertinggi baharu iaitu RM2.879 trilion.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, prestasi berkenaan menunjukkan kenaikan 9.2 peratus tahun ke tahun serta melepasi aras RM2 trilion selama empat tahun berturut-turut.
Tambah Reezal Merican, eksport yang dicatatkan juga melebihi RM1 trilion selama empat tahun berturut – turut apabila meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion.
“Jumlah ini melepasi 87.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Sementara itu import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 bilion, melepasi aras RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut – turut.
“Prestasi kukuh ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM138.88 bilion untuk tahun ke-27 berturut- turut sejak 1998,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia Tahun 2024 dengan tema Mengharungi Arus Perdagangan 2025.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong
Sementara itu, MATRADE memaklumkan eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS),Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan turut meningkat dengan eksport ke AS dan Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini. – TVS.