MIRI, 27 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sarawak) baru-baru ini mengumumkan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) dan e-Movement di pintu sempadan Malaysia-Brunei Darussalam sedang menjalani penyelenggaraan.
Ini mungkin menyebabkan sedikit kesulitan bagi pengguna yang merancang perjalanan terutama dengan peningkatan jumlah kenderaan yang biasanya berlaku semasa musim cuti.
Sebagai langkah penyelesaian, orang ramai disarankan untuk memuat turun (download), mencetak (print) dan mengisi borang VMS secara manual sebelum tiba di kaunter VMS Kastam.
Warga Brunei yang ingin memasuki Sarawak, khususnya Miri, digalakkan untuk menggunakan borang manual ini melalui pautan rasmi yang disediakan.
Kastam Miri membuka empat kaunter tambahan di pos-pos sempadan untuk mempercepatkan proses pendaftaran, yang diharap dapat mengurangkan kesesakan terutama ketika ramai yang pulang bercuti atau mengunjungi keluarga sempena perayaan.
Pintu sempadan yang terlibat adalah Pos Sempadan Sungai Tujoh (Miri), Pos Sempadan Tedungan dan Pos Sempadan Pandaruan (Limbang), serta Pos Sempadan Mengkalap (Lawas), dengan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan. Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan bagi memastikan kelancaran proses tersebut.-TVS