KUCHING, 27 Jan: Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan studio TikTok TEKUN merupakan antara inisiatif yang diperluas ke Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan membangunkan hab tersebut akan dijayakan oleh agensi KUSKOP iaitu SME Corp.
“Dalam masa sama, TEKUN Nasional telah mengenal pasti enam pejabat TEKUN negeri yang akan dibangunkan sebagai studio TikTok TEKUN yang mana para usahawan di negeri terbabit atau yang berdekatan, dapat melakukan aktiviti jual beli secara atas talian dan trafiknya akan disokong oleh TikTok.
“Diharapkan inisiatif ini dapat membuka ruang serta menjadi platform baharu kepada para usahawan kecil untuk berniaga secara atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah dan sumbangan kepada Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini dua studio sedang dibina di Ibu Pejabat TEKUN di ibu negara dan Pejabat TEKUN Negeri Sabah di Penampang.
Ewon turut memberitahu beliau telah diberi taklimat sebelum ini bahawa satu studio akan dibina di Sarawak dan berkemungkinan di Kuching. -TVS