KUCHING, 27 Jan: Ahli keluarga kepada bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang masih belum dituntut sudah dihubungi untuk mengambil balik anak mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ahli keluarga dan ibu bapa anak-anak tersebut mengubah fikiran pada saat akhir kerana pada awalnya ketika dihubungi mereka menunjukkan minat untuk mengambil balik.
“Bukan kita tidak menghubungi mereka, memang ada dan pada awalnya ibu bapa memang berhasrat untuk mengambil anak-anak mereka.
“Namun selepas itu mereka berubah fikiran, mungkin hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap kita. Tetapi itu hak mereka.
“Pada saya, kalau anak itu sudah boleh diambil, ambillah. Anda sepatutnya memberi keutamaan dalam menjaga anak sendiri. Tetapi kita tidak dapat memaksa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, setakat ini seramai 13 orang kanak-kanak termasuk enam di bawah Perintah Mahkamah berada dalam jagaan institusi JKM manakala 11 lagi diserahkan kepada Orang Yang Layak Sesuai (OYLS).
“Sebenarnya apabila kita minta keluarga mengambil balik anak-anak mereka, kita beritahu perintah-perintah yang kita minta sebagai tambahan. Kita hanya beritahu syarat-syarat yang pada kita, menjaga kepentingan anak-anak.
“Mereka hadir ke mahkamah sebab sewaktu di mahkamah, kita akan baca syarat-syarat tersebut dan mereka akan menandatangani perintah dan persetujuan itu.
“Sekiranya mereka tidak hadir ke mahkamah, bagaimana mereka hendak menerima syarat-syarat tersebut?,” soalnya.
Menurutnya, antara syarat yang ditetapkan termasuk mengemas kini maklumat seperti alamat tempat tinggal sekiranya terdapat pertukaran selepas anak-anak diserahkan kepada ibu bapa semula.
“Ia bagi memudahkan JKM membuat pemantauan terhadap anak-anak tersebut,” ujarnya.
Selain itu jelasnya, pihaknya juga meminta ibu bapa anak-anak tersebut untuk memberikan pendidikan yang formal dan sewajarnya.
“Ibu bapa juga diminta untuk memberi kerjasama sekiranya terdapat agensi-agensi kerajaan yang ingin mengadakan pertemuan bersama anak-anak tersebut,” jelasnya.
Tegasnya, syarat-syarat yang diletakkan itu adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan anak-anak dan bukan untuk menganiaya mana-mana pihak.
Sebelum ini media melaporkan seramai 80 daripada 560 anak-anak bekas anggota GISBH masih belum dituntut ibu bapa mereka.
Nancy dilaporkan berkata seramai 475 telah diserahkan kepada keluarga masing-masing mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -TVS