KUCHING, 27 Jan: Seramai 1,000 pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar bandaraya Kuching hari ini menerima bantuan dan sumbangan menerusi Program Back to School 4.0 anjuran Bank Rakyat.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sumbangan tersebut melibatkan dana berjumlah RM100,000.
“Program ini memberi manfaat kepada pelajar dari golongan B40 dan kurang berkemampuan untuk sekurang-kurangnya Bank Rakyat membantu mereka memenuhi keperluan penting dalam persekolahan mereka.
“Seperti yang saya tekankan dalam ucapan sebentar tadi, prinsip Bank Rakyat adalah ‘daripada rakyat kepada rakyat’. Justeru saya memohon sokongan rakyat Malaysia terhadap produk perkhidmatan yang kami tawarkan.
“Semakin banyak masyarakat melihat dan membantu Bank Rakyat, semakin banyak juga Bank Rakyat boleh turun padang dan membantu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Back to School 4.0 di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff memberitahu penganjuran program tersebut di Sarawak kali ini melibatkan sejumlah 1,400 pelajar, dengan baki 400 pelajar di Gedong dijangka menerima sumbangan tersebut esok.

“Buat masa ini, itu angka yang kita rangkakan untuk Sarawak, sama seperti negeri-negeri lain.
“Kita akan teruskan lagi Program Back to School ini setiap tahun, bukan setakat untuk tahun ini sahaja. Ia merupakan program tahunan Bank Rakyat untuk seluruh negeri di Malaysia,” jelasnya.
Menurut Datuk Mohd Irwan, angka penerima sumbangan itu dijangka bertambah, bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa.
Untuk rekod, Bank Rakyat turut melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lain termasuk program Digital Desa, program pembangunan solar untuk masjid dan banyak lagi.
Ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Bank Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia. -TVS