KUCHING, 26 Jan: Penyertaan wanita yang semakin meningkat dalam sektor Ekonomi Jingga mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
Program Wanita Dalam Ekonomi Jingga (WIOE) di bawah inisiatif Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) memperkasa potensi wanita dalam bidang industri.
Pengasas WIOE (Women In Orange Economy) Tokoh Perantis, Sharnaz Saberi berkata, bahawa program seumpama ini memberikan peluang kepada golongan wanita dalam kepimpinan.
“Menerusi WIOE 2025 kita ingin memberikan platform kepimpinan terutamanya kepada wanita dalam industri kreatif.Usahawan wanita dalam industri kreatif bukan sahaja mencipta pekerjaan malah juga memupuk inovasi dan pembangunan komuniti.
“Ekonomi Jingga yang dinamik merangkumi industri yang didorong oleh kreativiti budaya, seni dan intelektual menyumbang sebahagian besar aktiviti ekonomi global,” katanya ketika ditemui TVS di Persidangan Kepimpinan Wanita dalam Ekonomi Jingga di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, wanita yang terlibat dalam industri kreatif ini sekali gus menjana pendapatan negara.
“Jadi, mereka inilah yang harus diberikan lebih banyak platform kepimpinan. Kita mahu mendengar suara wanita dan kita mahu banyak lagi peluang yang diberikan kepada wanita dalam industri kreatif.
“Peranan wanita yang menjadi transformatif, bukan sahaja dalam mentakrifkan semula ruang kreatif tetapi juga dalam memupuk keterangkuman dan kemampanan dalam sektor yang berkembang pesat ini,” ujarnya.
Beliau turut memberikan tiga tips untuk golongan wanita lebih maju dalam Ekonomi Jingga iaitu mesti berkeyakinan, berkemahiran dalam pengucapan awam dan kemahiran memimpin.
“Yang pertama hendak berjaya ialah perlu ada keyakinan diri. Yang kedua mesti ada kemahiran untuk pengucapan awam dan yang ketiga bagi saya ialah kemahiran kepimpinan kerana jika kamu pemimpin yang bagus, ia mampu membuka peluang yang besar untuk diri sendiri bagi menginspirasi orang lain,” tambahnya.
Menurutnya lagi, peningkatan era digital dan peningkatan akses kepada teknologi telah memperkasakan suara wanita, membolehkan golongan wanita melangkaui global dan mencabar norma tradisional.
“Seruan saya, jangan lupa menyokong WIOE 2026 pula, jangan lupa untuk terus majukan diri anda. Boleh sertai aktiviti kami yang seterusnya kerana kita ada lebih banyak aktiviti untuk memperkasakan wanita-wanita dalam industri kreatif. Untuk kali ini kita lebih fokuskan pada wanita dalam industri muzik, kraf, fesyen dan keusahawanan dan teknologi.
“Kejayaan wanita dalam industri kreatif memberi inspirasi kepada generasi muda agar meneruskan kerjaya dalam bidang ini kerana ia menyumbang kepada pemerkasaan dan pertumbuhan Sarawak,” tegasnya. – TVS