Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dyg Masalamah Salleh bekas pesara polis dan juga merupakan bekas rakan sekerja Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Jemes Ulis, bekas pesara polis dan juga merupakan bekas rakan sekerja Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Mohd Speri Abdul Karim, bekas pesara polis dan juga merupakan bekas rakan sekerja Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Jeffrey Ch'ng Ngee Teck, bekas pesara polis dan juga merupakan bekas rakan sekerja Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Khushiri Salleh kenalan Tun dan juga merupakan bekas Pengurus Tekun Nasional Sarawak dan Suwit Lakak pemilik kedai Yong Hua Cafe, kedai minum kegemaran Tun bersantai bersama rakan-rakan. Foto TVS

Tun Dr Wan Junaidi, TYT Sarawak berjiwa rakyat

ByAsmah Adenan

KERAMAHAN dan sifat merendah diri yang dimiliki Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadikan beliau sebagai seorang pemimpin yang amat disegani oleh rakyat negeri ini.

Genap setahun bergelar TYT Sarawak pada hari ini, 26 Januari menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, sosok pemimpin berjiwa rakyat itu masih sering berkunjung ke kedai makan yang selalu dikunjungi bersama rakan-rakan beliau.

Malahan, kehadiran beliau akan sentiasa dinantikan warga Kuching untuk menyapanya mesra berikutan ramai mengakui Tun Dr Wan Junaidi sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, bertimbang rasa, prihatin dan rendah diri serta mudah didekati meskipun beliau bergelar pemimpin tertinggi Sarawak.

Mengenali lebih 20 tahun sejak beliau berkhidmat sebagai Pengurus Tekun Nasional Sarawak, Khushiri Salleh, 65, menyifatkan Tun Dr Wan Junaidi sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan.

“Tun merupakan seorang pemimpin yang berkaliber yang mempunyai misi yang jelas sebagai ketua. Dari segi penglibatan dengan masyarakat Tun Dr Wan Junaidi seorang yang berjiwa rakyat, tiada protokol malahan  beliau sangat dihargai oleh masyarakat di negeri Sarawak.

“Kenangan yang paling saya tidak dapat lupakan bersama Tun Dr Wan Junaidi ialah ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan negara berhadapan dengan musim pandemik Covid-19, beliau banyak membantu usahawan-usahawan bumiputera dengan memberi bantuan pinjaman tanpa faedah serta memberikan moratorium selama setahun kepada usahawan bumiputera di Sarawak.

“Dengan ini saya amat berterima kasih kepada beliau kerana banyak membantu rakyat, saya dan keluarga juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS bersarapan bersama Tun Dr Wan Junaidi di Yong Hua Cafe di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Suwit Lakak, 51,  yang telah 41 tahun mengusahakan kedainya, Yong Hua Cafe memberitahu, Tun Dr Wan Junaidi merupakan pelanggan tetapnya sejak dahulu hingga kini.

Menurutnya, Tun Dr Wan Junaidi sering datang ke kedainya untuk bersarapan dan bersantai bersama rakan-rakan.

“Saya berasa sangat bersyukur dan berbangga terhadap Tun Dr Wan Junaidi kerana seorang yang berjiwa rakyat dan rendah diri, walaupun sudah menjadi orang besar di Sarawak tetapi Tun Dr Wan Junaidi tetap makan di kedai-kedai biasa bersama kawan-kawannya.

“Saya amat berterima kasih kepada Tun Dr Wan Junaidi dan semua pelanggan yang banyak memberi sokongan terhadap perniagaan saya ini, semoga Tun Dr Wan Junaidi terus diberikan kesihatan yang baik untuk mentadbir dan memimpin Sarawak,” katanya.

Bagi rakan sekerja beliau, seorang pesara polis, Mohd Speri Abdul Karim, 74, Tun Dr Wan Junaidi merupakan seorang pegawai yang prihatin dan sangat menjaga kebajikan anak buahnya.

“Apabila kami bersama-sama dalam satu operasi, Tun Dr Wan Junaidi akan menjaga semua kebajikan anak-anak buahnya dan tidak sombong untuk bergaul bersama dengan pegawai rendahan.

“Beliau juga seorang yang mesra kepada semua. Bagi saya satu kebanggaan kerana pernah bergaul dan bekerjasama dengan Tun Dr Wan Junaidi suatu masa dahulu,” katanya.

Turut senada Jeffrey Ch’ng Ngee Teck, 78, yang mengakui sepanjang bekerjasama dan mengenali Tun Dr Wan Junaidi, beliau seorang yang sangat peramah, mudah didekati, rendah diri dan seorang yang sangat sederhana penampilannya.

“Saya berasa sangat bangga terhadap beliau dan saya akui beliau antara pegawai polis yang terbaik pernah saya kenali.

“Saya harap beliau dapat menjalankan tugas sebagai TYT Sarawak dengan baik,” katanya.

Turut ditemui Jemes Ulis, 78, yang pernah bekerjasama dengan Tun Dr Wan Junaidi ketika berkhidmat sebagai anggota polis suatu ketika dahulu mengakui mereka menyimpan kenangan yang manis yang tidak dapat dilupakan.

“Antara kenangan yang masih saya ingat hingga ke hari ini adalah ketika beroperasi bersama dan dalam pertempuran, banyak peristiwa yang terjadi ketika itu dan syukur semua kami selamat dan tiada apa-apa kecederaan akan tetapi beliau sentiasa menjaga dan memastikan kami semua selamat untuk kembali ke khemah.

“Beliau juga seorang yang ceria dan tidak pernah memarahi kami, walaupun beliau seorang pegawai tinggi tetapi beliau sangat menghormati kami anak buahnya,” katanya.

Perkara itu juga diakui pesara polis, Dayang Masalamah Salleh yang pernah bekerjasama dengan Tun Dr Wan Junaidi selama lima tahun ketika bertugas dahulu.

Dayang Masalamah menyifatkan peribadi Tun Dr Wan Junaidi sebagai individu yang ceria dan suka beramah mesra dengan sesiapa sahaja yang beliau temui tanpa memandang pangkat dan usia.

“Perwatakan beliau yang saya kenali ialah beliau seorang yang tidak sombong, apabila bertemu dengan rakan-rakan lama pasti beliau akan ingat dan menyapa.

“Seperti yang kita lihat beliau hari ini suka berjumpa dengan orang ramai begitu jugalah beliau ketika bekerja,” katanya.

Baru-baru ini Tun Dr Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa membeli-belah di Medan Niaga Satok sekali gus menyantuni para peniaga dan kemudian singgah bersarapan bersama rakan-rakan lama beliau di kedai kegemarannya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan