Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Kelab Sosial, Kebajikan dan Harmoni Miri, Kapitan Tang Tung Ming ketika ditemui TVS sempena Pertandingan Pembuatan Tanglung Angpau hari ini. Foto TVS

Tanglung angpau: Gabungan tradisi dan kreativiti

ByVanessa Enjop

MIRI, 26 Jan: Keunikan pembuatan tanglung angpau yang diperkenalkan dalam sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini telah menjadi titik tolak kepada inisiatif kreatif yang menggabungkan dua elemen tradisi penting dalam budaya Cina — tanglung dan angpau — dengan memberi nafas baru kepada kedua-duanya.

Inisiatif ini, yang diilhamkan oleh Pengerusi Kelab Sosial, Kebajikan dan Harmoni Miri, Kapitan Tang Tung Ming bertujuan untuk memupuk nilai kekeluargaan sambil memanfaatkan bahan kitar semula untuk tujuan kraf tangan.

“Angpau dan tanglung adalah dua elemen yang sangat penting dalam budaya Cina. Menggabungkan kedua-duanya dalam satu bentuk seni memberikan satu keunikan yang menyatukan aspek tradisi dan inovasi.

“Setiap kali anak-anak menerima angpau, jangan buang. Sebaliknya, kitar semula angpau tersebut untuk menghasilkan tanglung yang lebih bermakna dan boleh digunakan pada tahun depan. Dengan cara ini, kita bukan hanya memelihara tradisi, tetapi juga membantu mengurangkan pembaziran,” katanya ketika ditemui TVS di sini.

Menurutnya, proses ini bukan sahaja menggalakkan amalan mengitar semula, tetapi turut memberikan peluang kepada keluarga untuk berganding bahu dalam satu aktiviti produktif, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk semangat kerjasama.

“Kami mahu anak-anak bersama ibu mereka membuat tanglung kerana ini memberi peluang kepada mereka untuk mencipta kenangan indah bersama sambil menghasilkan sesuatu yang bernilai,” tambahnya.

Bercakap mengenai perancangan kelab pada masa hadapan, Tang merancang untuk membuka kelas-kelas kraf tangan yang lebih meluas, termasuk kelas untuk mengajar kanak-kanak cara membuat keperluan rumah seperti alas meja dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula.

“Kami ingin membuka kelas untuk mengajar anak-anak cara membuat barang-barang keperluan rumah secara buatan tangan supaya mereka tidak perlu membeli dan mereka boleh menggunakannya untuk kehidupan seharian.

“Kami berhasrat untuk menggunakan bahan lain, seperti bungkusan kopi, untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dan ibu tunggal untuk melibatkan diri dalam aktiviti kraf tangan yang lebih mesra alam,” ujarnya.

Melalui konsep tanglung angpau ini, bukan sahaja masyarakat tempatan dapat merayakan Tahun Baru Cina dengan lebih bermakna, tetapi juga dapat mengekalkan tradisi lama sambil menghargai alam sekitar dan memupuk nilai kekeluargaan yang lebih erat.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan