KUCHING, 26 Jan: Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki melanggar tiang lampu serta merempuh pokok mengakibatkan kereta terbabit remuk dalam kejadian di Jalan Abang Abdul Rahim di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian jam 3.10 pagi itu membabitkan seorang pemandu dan tiga penumpang yang memandu dari arah Jalan Padungan telah terbabas sendiri lalu menaiki pembahagi jalan dan melanggar tiang lampu serta pokok di atas pembahagi jalan.
“Mangsa seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Pemandu dan penumpang belakang kenderaan yang cedera dikejarkan ke HUS untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Rashdan Rosli di talian 013- 6204758 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.23 pagi dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Perodua Ativa, dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota polis mengalami kecederaan dan dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital manakala dua orang mangsa tersepit.
“Kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa menggunakan rescue tool, kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan seorang mengalami kecederaan manakala seorang lagi mangsa (penumpang di bahagian hadapan) telah disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dan menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.36 pagi.-TVS