Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa (kanan) mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan kepada para peserta Program Langkah Ceria sempena Car Free Day Realisasi Misi Bandar Rendah Karbon di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama

Kerajaan perkasa agenda kemajuan Wilayah Persekutuan 2025 – Dr Zaliha

ByBernama

PUTRAJAYA, 26 Jan: Kerajaan sedang merangka pelbagai inisiatif dan agenda khusus untuk memajukan Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata dengan menginjak usia 51 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan, setiap agensi telah diminta menetapkan sasaran dan fokus untuk mengembangkan potensi tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

“Kita telah menetapkan sasaran masing-masing untuk setiap agensi di bawah Wilayah Persekutuan agar kita dapat memberi tumpuan dan keutamaan pada 2025,” katanya kepada pemberita selepas Program Car Free Day (CFD) di sini hari ini.

Sempena sambutan Hari Wilayah 2025, Dr Zaliha mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai pelbagai program yang telah dirangka sepanjang Februari ini.

“Wilayah Persekutuan kali ini menyambut ulang tahun penubuhan ke-51. Tema yang kita pilih ialah ‘Wilayah Persekutuan Kita’,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ bertujuan untuk mengajak semua warga, dari pelbagai peringkat umur dan kategori, bekerjasama membina Wilayah Persekutuan ke arah kesejahteraan dan kemampanan.

Sebelum ini, Dr Zaliha dilaporkan berkata kira-kira 72,000 bendera Wilayah Persekutuan akan diagihkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 pada 1 Feb ini.

Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Feb 1974, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pertama, diikuti Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

Penubuhan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini mempunyai fungsi khusus, iaitu Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan, dan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan