KAMPALA (Uganda), 25 Jan: Agensi Kerjasama Pembangunan Turkiye (TIKA) telah menyumbangkan pelbagai barangan, termasuk naskhah al-Quran dalam tulisan Braille, bagi membantu individu kurang upaya penglihatan di Uganda mempelajari kitab suci itu, lapor Agensi Anadolu.
Braille merupakan kaedah membaca dan menulis secara sentuhan yang digunakan oleh golongan kurang upaya penglihatan.
Di Uganda, umat Islam yang kurang upaya penglihatan menghadapi cabaran untuk mempelajari al-Quran dalam tulisan Braille berikutan kekurangan kemudahan.
Penyelaras TIKA untuk Uganda Murt Cetin berkata agensi itu memberi sokongan kepada setiap rakyat Uganda, termasuk mereka yang kurang upaya penglihatan.
“Menjaga golongan kurang upaya, adalah antara misi utama Türkiye kerana kami percaya kepada peranan berkesan semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang kurang upaya penglihatan, dalam masyarakat Uganda,” katanya.
Projek penyediaan al-Quran dalam tulisan Braille ini dilaksanakan secara bersama oleh TIKA, Yayasan Al-Quran Braille Antarabangsa, dan Persatuan Solidariti dan Pembangunan Çare.
Pengarah Persatuan Çare di Uganda Emre Olgay berkata TIKA menyediakan al-Quran Braille dan buku Braille lain selain tongkat putih.
Beliau berkata golongan kurang upaya penglihatan perlu mempelajari huruf Braille terlebih dahulu sebelum membaca al-Quran. “Mereka menggunakan jari mereka yang sensitif untuk membaca al-Quran Braille,” katanya.
Presiden Yayasan Al-Quran Braille Antarabangsa Halis Kurulay berkata al-Quran Braille berbeza daripada naskhah al-Quran lain kerana setiap juzuk al-Quran Braille dihimpunkan dalam sebuah buku besar.
Al-Quran Braille dicirikan oleh saiznya yang besar dan penggunaan kadbod tebal khas dengan titik-titik yang jelas dan ketara supaya mudah dibaca menggunakan hujung jari.
Tulisan Braille dicipta pada tahun 1829 untuk kegunaan golongan kurang upaya penglihatan membaca dan menulis. Ia dinamakan sempena penciptanya, Louis Braille dari Perancis, yang kehilangan penglihatan pada usia tiga tahun. Beliau mendapati penggunaan sistem titik lebih mudah dan cepat berbanding kaedah sebelumnya yang menggunakan huruf bercetak timbul.
Menteri Hal Ehwal Orang Kurang Upaya Uganda Asamo Hellen Grace baru-baru ini berkata kerajaan telah mencapai kemajuan dalam mempromosikan hak dan mobiliti golongan kurang upaya penglihatan.
Beliau berkata negara Afrika Timur itu adalah antara yang pertama meratifikasi perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Protokol Kesatuan Afrika mengenai Hak Orang Kurang Upaya. Selain itu, Uganda juga telah meminda dasar nasionalnya untuk diselaraskan dengan piawaian antarabangsa berkaitan.
Laporan Biro Statistik Uganda (UBOS) 2014 menunjukkan daripada 6.4 juta orang kurang upaya, 2.1 juta mengalami masalah penglihatan, yang merangkumi 33.2 peratus daripada populasi kurang upaya di negara itu. – TVS