MIRI, 25 Jan: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, peniaga di Miri semakin sibuk menjalankan operasi perniagaan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Walaupun berdepan dengan kenaikan harga barang, mereka tetap optimis dan berusaha memastikan keperluan perayaan dapat dipenuhi.
Menurut Amy Wong yang berniaga lebih 20 tahun, dia mengakui kenaikan harga barang mempengaruhi perniagaannya namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus menjalankan operasi.
“Sebagai peniaga, musim perayaan adalah masa untuk kami berkongsi dengan pelanggan. Walaupun barang semakin mahal, semangat untuk berkongsi tetap ada. Dahulu, kami mungkin membeli dalam jumlah besar, tetapi kini kami mengurangkan sedikit kuantiti sambil terus berkongsi kegembiraan dengan semua orang.
“Dari segi perniagaan, sambutan Tahun Baru Cina tidak terjejas kerana ia sebahagian daripada budaya kami. Walaupun ekonomi sedikit terkesan dan semangat berkongsi tetap diteruskan,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Sementara itu, Wong Siong Ngo seorang peniaga berusia 60 tahun memilih untuk membuat sendiri kuih-muih tradisional bagi menjimatkan kos berbanding membelinya di pasaran.
“Tahun ini, persiapan agak mencabar kerana harga barang semakin meningkat. Walaupun keuntungan perniagaan tidak begitu besar, kami tetap meneruskan usaha. Ada pelanggan yang masih membuat tempahan kuih walaupun jumlahnya tidak seperti dahulu,” ujarnya.
Bagi Lily Wong, 63, persaingan dengan pasar raya besar turut memberi kesan kepada perniagaan kecil sepertinya.
“Terdapat banyak perubahan sejak dahulu. Namun, perniagaan kami semakin menurun kerana persaingan daripada pasar raya besar. Ini memberi kesan kepada kami yang berniaga secara kecil-kecilan,” jelasnya.
Walaupun menghadapi cabaran, peniaga tetap optimis terhadap masa depan ekonomi Sarawak.
Dengan semangat perpaduan antara kaum dan budaya yang menjadi ciri khas Sarawak, peniaga di Miri terus memastikan persiapan Tahun Baharu Cina berjalan lancar.-TVS