KUALA LUMPUR, 25 Jan: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima peruntukan berjumlah RM5 juta tahun ini khusus untuk makanan warisan.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan, Mohamad Muda Bahadin berkata, peruntukan itu akan digunakan pihaknya untuk penyelidikan, penerbitan dan menganjurkan pameran dengan mengetengahkan makan di negara ini yang hampir pupus.
Beliau berkata, MOTAC juga akan memanfaatkan peruntukan itu untuk mengetengahkan makanan warisan Malaysia yang telah diiktiraf oleh UNESCO ke luar negara pada tahun ini.
“Di bawah MOTAC, kita ada program Minggu Kebudayaan Malaysia dengan kita akan ke sana membawa makanan dan juga seni budaya negara untuk diketengahkan. Program itu akan berlangsung di beberapa negara antaranya di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kemudiannya ke Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Budaya Sarapan Malaysia: Sarapan Negeri Warisan Negara di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MOTAC juga sedang mengenal pasti individu tepat untuk diberikan pengiktirafan sebagai tokoh chef negara.
Beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti individu yang layak untuk menerima pengiktirafan itu.
“Di peringkat Jabatan Warisan di bawah MOTAC, usaha tersebut memang kita ada lakukan. Di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, kita juga memberi pengiktirafan kepada tokoh, bukan hanya melibatkan seni dan budaya, tetapi juga makanan.
“Cuma ketika ini kita masih dalam penyelidikan (mengenal pasti) siapa tokoh-tokoh yang layak. Kita mempunyai jawatan kuasa pakar yang berkaitan makanan dengan komuniti ini turut terlibat dalam membantu kita mendapatkan pengiktirafan UNESCO terhadap makanan warisan negara,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program Budaya Sarapan Malaysia anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Ketua Pegawai Digital (CDO), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, program itu menjadi platform terbaik dalam mengetengahkan keistimewaan budaya dan juadah warisan negara. – TVS