KUCHING, 25 Jan: Pembinaan loji konkrit pratuang baharu bagi pakej laluan merah Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching diyakini sebagai ‘game changer’ terhadap pembangunan pelan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) fasa pertama.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kemudahan konkrit pratuang itu menjadikan projek pembangunan lebih pantas, murah dan berkualiti terutama pembinaan semua jambatan dan jalan bertingkat masa depan di Sarawak.
“Dengan teknologi canggih, keupayaan pengeluaran berkualiti tinggi, dan amalan mesra alam, kemudahan ini bukan sahaja akan menyokong keperluan infrastruktur Sarawak yang semakin meningkat tetapi juga menetapkan piawaian baharu dalam industri konkrit pratuang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran KUTS Precast Concrete Facilities dan Sambutan Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau meyakini kontraktor tempatan Sarawak mampu mengadaptasi teknologi pembinaan baharu untuk bersaing dengan pemain industri di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, loji konkrit pratuang baharu Urban Empire Builders (UEB) Sdn Bhd yang menelan belanja sebanyak RM20 juta merupakan Loji Konkrit Pratuang terbesar di Sarawak yang menandakan era baharu dalam pembinaan jambatan dan jalan bertingkat di Sarawak.
Loji tersebut dilengkapi dengan pejabat pengurusan projek, kuarters kakitangan pengurusan, kuarters pekerja, kantin, taman berlandskap dan dewan rekreasi.
Hadir sama Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) Abdul Yakub Arbi, Pengarah Urban Empire Builders Sdn Bhd, Ts Mike Chin Yuan Tai dan Pengarah Projek Sarawak Metro, Zafrin Zakariah. – TVS