KUALA LUMPUR, 25 Jan: Hubungan Malaysia dan China melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi pemahaman dan penghormatan bersama terhadap budaya serta tamadun kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata aspek unik dalam hubungan Malaysia dan China itu perlu dipupuk seiring dengan kerjasama ekonomi.
“Semasa perbincangan saya bersama Presiden Xi Jinping, kami bukan sahaja membincangkan hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, tetapi juga keperluan membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama.
“Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon willow dan bunga-bungaan’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baru Cina 2025 yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China. -TVS