KUCHING, 24 Jan: PETROLIAM Nasional Berhad (PETRONAS) menganjurkan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama media Sarawak sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka dalam memperkukuh hubungan dengan syarikat itu.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abd Latif, berkata acara tersebut bukan sahaja meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, tetapi juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan rakan media di Sarawak.
Menurut beliau, PETRONAS turut merancang pelbagai program melibatkan media sepanjang tahun bagi mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kefahaman terhadap inisiatif dan aspirasi syarikat.
“Tahun ini, kami tetap komited untuk terus memelihara dan memperkukuhkan hubungan kami dengan media melalui pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang, seperti lawatan pengenalan media, majlis perayaan, bengkel, persidangan Energy Asia 2025 pada bulan Jun, dan tentunya penajaan Anugerah Kewartawanan Kenyalang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media Sarawak yang berlangsung di Hotel Hilton, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Strategik Kumpulan PETRONAS, Nooruddin Abdullah, serta Pengurus besar PETRONAS Sarawak Norazibah Md Rabu.
Majlis tersebut diserikan dengan acara ‘Yee Sang’ sebagai simbol kemakmuran, dan sesi interaksi bersama wakil media tempatan.
Siti Azlina turut memperkenalkan filem web terbaharu PETRONAS bertajuk Tetap Di Sini atau Stay, arahan pengarah terkenal Caleb Huang, yang kini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube dan Facebook PETRONAS.
Filem itu menceritakan kisah menyentuh hati seorang kanak-kanak bernama Xiao Bao, yang pada mulanya hanya mengunjungi saudara-maranya untuk meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.
Namun, kemuncak cerita yang penuh emosi itu menyaksikan, Xiao Bao tinggal lebih lama bersama keluarga saudaranya selepas ibunya membuat keputusan sukar untuk menyerahkan penjagaannya kepada mereka.
Pengorbanan itu dilakukan agar Xiao Bao dapat memiliki masa depan cerah dengan kehidupan yang lebih baik.
“Saya dimaklumkan oleh pasukan saya bahawa semasa penggambaran, malah kru dan mereka yang berada di set turut tersentuh sehingga menitiskan air mata kerana lakonan penuh emosi oleh kanak-kanak lelaki dan ibunya.
“Namun, apa yang benar-benar menjadikan saat ini tidak dapat dilupakan bukan sekadar lakonan itu sendiri, tetapi emosi mendalam yang disampaikan iaitu mengingatkan kita semua tentang nilai-nilai empati, belas kasihan, dan saling mengambil berat yang tersemat kukuh dalam budaya Malaysia.
“Kami berharap filem ini dapat menginspirasi seluruh rakyat Malaysia untuk terus memupuk perpaduan dan saling menyokong antara satu sama lain, sekali gus memperkukuh hubungan yang menjadi asas kepada penyatuan kita sebagai sebuah negara,” tambahnya lagi. – TVS