KUCHING, 24 Jan: Jualan Khas sempena Tahun Baru Cina 2025 di Medan Niaga Satok yang mula membuka tirai hari ini diyakini akan merancakkan ekonomi usahawan tempatan.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata jualan khas itu menyediakan pelbagai keperluan asas bagi masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina yang menjelang tiba.
“Setiap perayaan yang disambut, Medan Niaga Satok semestinya menjadi tempat tumpuan semua lapisan masyarakat untuk membeli segala bahan masakan sebagai persiapan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai untuk berkunjung ke Medan Niaga Satok bagi mendapatkan pelbagai keperluan asas masing-masing.
“Saya menyeru warga setempat berkunjung ke Medan Niaga Satok bagi sama-sama membantu merancakkan ekonomi usahawan tempatan kita,” ujarnya yang turut hadir merasmikan program anjuran FAMA itu pada Jumaat.
Pada masa sama, Fazzrudin mahu semua usahawan di outlet pemasaran FAMA mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2025 yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengumumkan program Jualan Khas Sempena Tahun Baru Cina bermula hari ini hingga 28 Januari 2025.
Jualan berkenaan turut diadakan serentak di 72 outlet pemasaran FAMA diseluruh negeri dengan menyasarkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM500,000 bagi tempoh terbabit.