KUCHING, 24 Jan: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak mempergiat usaha dalam memastikan akses rawatan kesihatan untuk golongan yang memerlukan mendapat manfaat secara berterusan.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, komitmen ini dizahirkan melalui lawatan rasmi ke Unit Radioterapi, Onkologi & Penjagaan Paliatif (RTU) di Hospital Umum Sarawak, dengan tujuan meninjau perkembangan dalam rawatan penyakit kritikal seperti kanser dan penjagaan paliatif.
Beliau berkata, sejak tahun 2021, program Bantuan Perubatan telah dilancarkan untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan dengan segera.
“Inisiatif ini membolehkan pesakit yang kurang berkemampuan menerima bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan perubatan.
“Bantuan yang disediakan adalah dalam bentuk one-off atau sementara sehingga pesakit mendapat sokongan daripada sumber lain,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, sehingga kini, program Bantuan Perubatan telah memberikan manfaat kepada 106 pesakit dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM2.77 juta.
“Bermula dengan hanya sembilan kes pada tahun 2021, jumlah kes meningkat kepada 16 pada tahun 2023, dan seterusnya melonjak kepada 79 kes pada tahun 2024.
“Peningkatan ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan kewangan kepada golongan yang memerlukan rawatan segera, terutamanya pesakit yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40,” ujar Fatimah.
Beliau menjelaskan, program ini menawarkan bantuan untuk pelbagai jenis rawatan dan sokongan perubatan, termasuk kos pembedahan, implant, pembelian peralatan perubatan, pembekalan ubat-ubatan, serta rawatan tambahan yang diperlukan untuk pemulihan.
Justeru itu, Fatimah menambah usaha ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan tidak akan berhenti berusaha memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir daripada menerima rawatan, walaupun mereka menghadapi cabaran kewangan.
Katanya lagi, dengan usaha berterusan daripada kerajaan negeri dan kerjasama semua pihak, rakyat Sarawak diyakini akan mendapat akses rawatan kesihatan yang lebih baik, menjadikan negeri ini lebih sejahtera dan inklusif. – TVS