SARIKEI: 24 Jan: Kanak-kanak berusia 7 tahun antara 38 peserta Program Mari Mencuba Sukan Muay Thai di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu, di sini pada Jumaat.
Program yang dikendali oleh Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd dianjurkan sempena Cabaran Muaythai P206 Tanjung Manis 2025 di sini.
Pelaksanaan program berkenaan bagi memeriah suasana sempena berlangsungnya Cabaran Muaythai P206 Tanjung Manis 2025 dan dikendali oleh ketua jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd. Nadzri bersama-sama barisan jurulatih lain.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab yang hadir menyaksikan acara hari ini menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
“Ia secara tidak langsung dapat menyemai minat golongan remaja mahupun belia khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Manis serta Bahagian Sarikei dengan sukan Muay Thai,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Azan meluahkan keterujaan melihat sambutan luar jangkaan tersebut.
“Saya yakin kawasan Tanjung Manis khususnya Bahagian Sarikei mampu menjadi medan terbaharu dalam melahirkan jaguh sukan Muay Thai pada masa akan datang,” ujarnya. – TVS