Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kenderaan perisai tentera Israel melepasi orang yang membawa barang-barang mereka ketika mereka melarikan diri dari kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki pada 23 Januari 2025. Foto AFP

Israel rancang serangan besar-besaran di Kem Pelarian Jenin, kata Pegawai Palestin

ByBernama

RAMALLAH (Palestin), 24 Jan: Timbalan Gabenor Jenin Mansour al-Saadi memberi amaran pada Khamis mengenai rancangan ketenteraan Israel untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kem Pelarian Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki, dan menyamakan operasi itu dengan serangan genosid di utara Gaza.

Bercakap kepada Agensi Anadolu (AA), al-Saadi berkata tentera Israel telah “menutup keempat-empat pintu masuk ke Bandar Jenin dan kem pelariannya dengan timbunan tanah, menghalang pergerakan keluar masuk.”

Beliau memberi amaran tentang “rancangan Israel untuk melancarkan serangan besar-besaran di pusat kem itu di tengah-tengah aktiviti perobohan bangunan dan rumah di sekitarnya.”

Al-Saadi menyamakan serangan yang dirancang itu dengan “pengulangan apa yang berlaku di utara Gaza – kempen pembunuhan beramai-ramai yang sistematik”, bermula dari 5 Okt 2024 dan berlarutan sehingga gencatan senjata di Gaza pada 19 Jan tahun ini.

Beliau turut menekankan keadaan sukar yang dihadapi pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Kerajaan Jenin akibat gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api akibat serangan Israel.

Al-Saadi juga menyatakan ketiadaan data tepat mengenai jumlah penduduk yang dipindahkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau memaklumkan bahawa Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) telah mendokumentasikan pemindahan kira-kira 2,000 keluarga daripada Kem Pelarian Jenin sejak pertengahan Disember, yang bertepatan dengan kempen keselamatan yang dijalankan oleh pasukan keselamatan Palestin di kem itu pada masa berkenaan.

Tentera Israel terus melaksanakan operasi ketenteraan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan lebih 40 lagi, memasuki hari ketiga berturut-turut di Kem Pelarian Jenin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan