KUALA LUMPUR, 24 Jan: Seorang guru dari Pahang, Hazrul Ikram Pahroraji diumumkan sebagai jutawan baharu Akaun Pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat bagi cabutan hadiah utama tahun 2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dalam satu kenyataan memaklumkan tahun lepas Bank Rakyat turut menyaksikan detik bersejarah menerusi akaun pelaburan tersebut.
“Pada Januari 2024, kita menyaksikan detik bersejarah apabila jutawan pertama Akaun Pelaburan-i Rizq Plus diumumkan yang mana seorang jururunding berjaya membawa pulang hadiah utama berjumlah RM1 juta sebagai hasil daripada pelaburannya menerusi akaun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Utama Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Shahril berkata, sambutan luar biasa daripada orang ramai dan pelanggan setia Bank Rakyat memberi galakan kepada bank berkenaan untuk terus memperluaskan lagi impak dan manfaat produk pelaburan tersebut.
Pada majlis berkenaan Bank Rakyat turut meraikan para pemenang cabutan hadiah utama bagi tahun 2025 yang lain iaitu Noor Afidah Mohammad Isa dari Selangor yang membawa pulang hadiah emas seberat 500 gram (tempat kedua) manakala empat lagi orang pemenang hadiah tempat ketiga membawa pulang hadiah emas seberat 100 gram.
Seramai tiga lagi pemenang yang memenangi hadiah tempat keempat, kelima dan keenam pula menerima peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berserta hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, RM5,000 dan RM1,000.
“Majlis ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk meraikan setiap pemenang dan memastikan semua hadiah yang dijanjikan disampaikan pada masa yang ditetapkan.
“Sepanjang tahun ini, kami akan mengadakan pelbagai cabutan menarik, termasuk cabutan bulanan, suku tahunan, setengah tahun serta cabutan istimewa yang pastinya memberi lebih banyak peluang kepada anda untuk menang. Setiap cabutan adalah peluang baharu untuk anda meraih hadiah hebat.
“Menerusi hadiah dan ganjaran lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta yang ditawarkan, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus adalah sebahagian daripada usaha Bank Rakyat untuk memastikan pelanggan dapat meraih manfaat yang maksimum daripada produk pelaburan yang selamat dan patuh Syariah,” katanya lagi.
Pada tahun 2025, Bank Rakyat mensasarkan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM700 juta yang mana jauh lebih tinggi daripada sasaran awal pada tahun pertama produk tersebut dilancarkan. – TVS