Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Masjid Darul Huda, Kampung Siol Kandis. Foto Faitullah Morni (TVS)

Abang Johari rasmi Masjid Darul Huda bernilai RM5.2 juta

KUCHING, 24 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini merasmikan Masjid Darul Huda, Kampung Siol Kandis yang siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada 10 Mac tahun lalu.

Ketibaan Abang Johari disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada jam 12:35 tengah hari.

Beliau kemudian menyertai jemaah untuk mendengar khutbah Jumaat bertajuk Pedoman dan Peristiwa Isra’ dan Mikraj, sebelum menunaikan Solat Jumaat secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Selepas Solat Jumaat, Abang Johari merasmikan masjid baharu dan turut menyaksikan acara simbolik penyerahan van jenazah dan kit pengurusan jenazah yang disumbangkan oleh Yayasan Bintulu Port oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad Ruslan Abdul Ghani kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Huda, Kampung Siol Kandis Morshidi Sindu.

Masjid baharu itu mula dibina pada 11 Januari 2021 dengan kos keseluruhan berjumlah RM5.2 juta.

Sebanyak RM3.9 juta disumbangkan oleh Kerajaan Sarawak manakala selebihnya adalah hasil kutipan wakaf daripada penduduk setempat iaitu sebanyak RM1.3 juta.

Dengan keluasan 4,570 meter persegi, masjid tersebut mampu menampung sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Darul Huda kini secara rasminya menggantikan Surau Darul Huda yang tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah setiap tahun.

Tanah wakaf untuk pembinaan masjid tersebut merupakan sumbangan bekas Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak, Allahyarham Tan Sri Abang Khalid Marzuki bersama isteri Puan Sri Lily Johari serta keluarga Allahyarham Abdul Rahim Moharif.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan