KUCHING, 24 Jan: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 113 notis kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Seksyen 47 Akta 852 dengan jumlah kompaun sebanyak RM27,750 di Sarawak bermula 1 Oktober 2024 hingga 23 Januari tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sebanyak 107 daripada kes tersebut pula adalah kesalahan di bawah Seksyen 16(2) kerana merokok di kawasan larangan.
Selain itu, katanya, terdapat lima kesalahan di bawah Seksyen 17(1) yang melibatkan larangan orang belum dewasa merokok dan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) berkaitan kesalahan pembungkusan dan pelabelan produk merokok menyerupai bahan mainan.
“Kita masih lagi dalam proses penguatkuasaan pendidikan yang mana sebaik sahaja Akta 852 dikuatkuasakan, kita mempunyai satu tempoh masa untuk penguatkuasaan pendidikan.
“Ini bermaksud apabila penguatkuasa KKM memberi kompaun, ia bukan kompaun yang perlu dibayar tetapi hanya seperti surat amaran terlebih dahulu. Namun, bermula 1 April 2025, kita akan memulakan penguatkuasaan seperti apa yang termaktub di dalam undang-undang tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah menjalankan sebanyak 823 operasi dan memeriksa 18,010 premis, termasuk memberi nasihat dan amaran kepada 12,952 individu, serta merampas 505 barangan dengan nilai sitaan RM11,080.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan War on Sugar Peringkat Sarawak di Topspot Food Court, di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Lukanisman, program Walkabout BeBAs itu bertujuan meningkatkan pemahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat berkaitan kepentingan kebersihan premis makanan dan kepatuhan terhadap larangan merokok di premis makanan.
Jelasnya, pada sesi walkabout kali ini, pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 22 premis makanan di Topspot Food Court dan kawasan di sekitarnya.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 premis makanan berjaya dianugerahkan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) dan semuanya mempunyai tanda larangan merokok yang jelas,” ujarnya. – TVS