JUBA (Sudan Selatan), 23 Jan: Sudan Selatan pada Rabu mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses platform media sosial selama tiga bulan susulan demonstrasi ganas berhubung kematian warganya di negara jiran, Sudan minggu lepas.
Pengawal selia telekomunikasi negara itu, Pihak Berkuasa Komunikasi Kebangsaan (NCA) mengeluarkan arahan berkenaan dalam surat yang ditujukan kepada penyedia perkhidmatan Internet, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Melalui perintah ini, pihak berkuasa mengarahkan semua penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses kepada semua akaun media sosial berkuat kuasa tengah malam 22 Januari 2025 untuk tempoh maksimum 90 hari,” kata Ketua Pengarah NCA, Napoleon Adok Gai.
Beliau berkata tindakan itu diambil susulan pergolakan baru-baru ini di Sudan, yang telah mendedahkan penduduk Sudan Selatan kepada tahap keganasan melampau yang tidak pernah berlaku sebelum ini melalui hantaran di media sosial.
“Pelarian Sudan Selatan di (bandar) Wad Madani, yang terletak di negara jiran Republik Sudan, menjadi sasaran serangan ganas yang menyebabkan kematian wanita dan kanak-kanak. Kejadian itu dirakam dalam video dan dikongsi di media sosial tanpa sebarang pertimbangan,” tambahnya.
Gai berkata arahan itu mungkin ditarik balik sebaik sahaja keadaan terkawal.
Menurut beliau, kandungan yang dipaparkan melanggar undang-undang tempatan dan menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam serta kesihatan mental, terutama kepada kumpulan rentan.
Kejadian tembakan berlaku minggu lepas, dan pasukan keselamatan dikerahkan ke ibu negara Sudan Selatan, Juba untuk menghalang belia yang marah daripada merompak perniagaan milik warga Sudan.
Kekacauan itu tercetus susulan bantahan penduduk yang mengecam laporan pembunuhan 16 warga Sudan dalam rusuhan minggu lepas, berikutan dakwaan pembunuhan rakyat Sudan Selatan di wilayah El Gezira, Sudan oleh Angkatan Bersenjata Sudan (SAF). – TVS