Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata WEF 2025 juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama antara Malaysia dan pihak berkaitan. Foto fail AFP

Pelbagai sektor bakal raih sinergi, pulangan lumayan daripada WEF – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Sektor pendidikan, pelaburan, perdagangan, kecerdasan buatan (AI), tenaga, digital antara yang bakal meraih sinergi secara langsung dan pulangan lumayan daripada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata WEF 2025 juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama antara Malaysia dan pihak berkaitan.

“WEF ini diadakan untuk mempertemukan pimpinan negara secara formal dan juga santai menerusi mesyuarat dua hala, sela-sela, sidang utama dan lain-lain lagi yang pastinya memberi impak positif dan pengalaman berguna untuk dibawa pulang.

“Saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana Malaysia mendapat layanan dan pengiktirafan di atas kehadiran kali ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata di sebalik semangat mengejar perubahan arus teknologi dunia dan kepesatan ekonomi, faktor keamanan sejagat merentasi benua perlu diambil kira bagi terus mengekalkan kestabilan dunia.

Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah menekankan isu tersebut dalam ucapan pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together” di WEF 2025.

“Poin kritikal itu perlu diberi perhatian serius mana-mana negara, blok mahu pun kesatuan jika ingin memastikan kehadiran pelabur terus rancak menghangatkan peluang perdagangan yang ada.

“Saya turut memberikan contoh dan pandangan mengenai situasi di Myanmar, di mana lebih banyak libat urus di pelbagai lapisan dan pihak berkaitan, perlu diadakan bagi memastikan kestabilan dan keamanan benua ASEAN terus dipelihara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.

WEF 2025, yang berlangsung bermula 20 Jan lepas diadakan di Davos, Switzerland. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan