BANGI, 23 Jan: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi di bawahnya diminta supaya memperkukuhkan dashboard, bank data dan pelan digital masing – masing bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri di KKDW berkata, ini kerana langkah mengadaptasi teknologi digital itu sangat penting untuk meningkatkan daya responsif terhadap penyampaian kepada rakyat.
Jelas beliau keutamaan diberikan kepada warga Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk melakukan transformasi berkenaan.
“Dengan ini, setiap projek pembangunan boleh dinilai secara ‘real time’ bagi memastikan setiap keputusan berdasarkan data yang tepat.
“Saya dimaklumkan bahawa RISDA telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan RISDA Command Center (RCC) iaitu pusat pemantauan bersepadu yang membolehkan pelaporan pembangunan dijalankan secara langsung di seluruh negara. Ia langkah yang baik,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025 di sini,hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya Datuk Rubiah Wang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid optimis inisiatif itu akan menjadi ‘game changer’ sekali gus memastikan bantuan sampai dengan lebih cepat, sistematik dan berkesan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta RISDA untuk memperkasakan tenaga kerja dalam AI, pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Bayangkan jika RISDA memiliki pakar AI dan analitik data sendiri, ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga luar, tetapi juga mampu memangkin inovasi dalam sektor getah.
“Kita berada di ambang perubahan besar. Jika kita tidak bertindak dengan pantas dan berani, kita akan terus ketinggalan,” ujarnya.
Ahmad Zahid menambah, Malaysia yang pernah bergelar pengeluar getah utama dunia dengan menyumbang 50 peratus bekalan getah global dan perlu bangkit semula.
“Hari ini, kita jauh ditinggalkan dengan negara jiran kini yang menghasilkan 1/3 daripada pengeluaran global.
“Ini bukan noktahnya, ia hanya rintangan dalam perjalanan kita untuk mengembalikan kegemilangan industri getah negara,” katanya. – TVS