KUCHING, 23 Jan: Sebuah jambatan ikonik yang sedang dibina di Kampung Bintangor dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aksesibiliti dan tarikan pelancong ke kawasan tersebut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, yang dipetik menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), projek infrastruktur baharu ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk tetapi juga menyediakan peluang untuk mengembangkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Kami merancang untuk memanfaatkan jambatan ini bagi merangsang aktiviti ekonomi kawasan ini. Pergerakan keluar masuk orang ramai akan meningkat dan ini akan memberi impak positif kepada penduduk sekitar.
“Kami berharap pembinaan ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui media selepas mengagihkan buah limau mandarin dan poster ucapan Tahun Baru Cina kepada orang ramai di sekitar Jalan Nanas di sini, hari ini.
Menurutnya, jalan alternatif di sekitar jambatan itu telah dibuka sebagai laluan sementara, namun hanya membenarkan pergerakan sehala kerana kerja-kerja pembinaan masih berjalan.
Jalan tersebut hanya akan dibuka sepenuhnya selepas pembinaan selesai dan keadaan dijamin selamat untuk digunakan.