KUALA LUMPUR, 23 Jan: Seramai 80 daripada 560 anak-anak bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih belum dituntut ibu bapa mereka, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, seramai 475 telah diserahkan kepada keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jelasnya, lima kanak-kanak pula telah diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai (OYLS) melalui Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
“(Manakala) tujuh kanak-kanak (daripada 80) perlu tinggal di institusi kementerian atas arahan mahkamah selama tiga tahun,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Bicara Eksekutif Siri 1/2025 Cabaran Menuju Ke Puncak Kepimpinan di sini hari ini.
Sementara itu kata Nancy KPWKM akan terus berusaha untuk menghubungi ibu bapa kanak-kanak tersebut supaya mengambil semula anak mereka.
Nancy turut menasihatkan agar ibu bapa yang masih belum menuntut anak-anak mereka agar hadir berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ada yang mempunyai minat untuk mengambil, menuntut balik anak namun atas sebab yang kita tak tahu, mereka tidak berbuat demikian.Jadi, beri kerjasama kepada kami dan berikan keutamaan kepada anak kita,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – TVS