SARIBAS, 22 JAN: Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo optimis Sarawak tahun ini bakal ‘menuai’ hasil projek pembangunan yang sedang dilaksanakan selama ini.
Keyakinan itu katanya ekoran pada tahun 2025 ini bakal menyaksikan beberapa projek berimpak tinggi seperti jambatan bakal siap sepenuhnya dan akan dibuka untuk kegunaan umum.
“Pertama, kita telah lihat Jambatan Marudi dan Jambatan Batang Lassa sudah siap. Manakala Jambatan Jepak di Bintulu hampir siap yang juga dijangka bulan Mac ini.
“Begitu juga dengan Jambatan Batang Saribas 1 dijangka siap Mac. Jambatan-jambatan lain dijangka siap sekurang-kurang penghujung tahun ini. Jadi tahun ini kita sibuk menuai hasil yang telah lama kita buat sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Saribas di sini, hari ini.
Berkaitan Jambatan Saribas, Aidel memaklumkan Jambatan ini merupakan salah satu komponen penting dalam Projek Jalan Pesisir Sarawak.
Projek ini melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 1.55 kilometer dengan laluan jalan dua lorong, jalan baru, serta penaiktarafan jalan sedia ada di kedua-dua kawasan Pusa dan Beladin.
“Matlamat utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan jalan di kawasan tersebut, menggantikan perkhidmatan feri dan mempercepatkan perjalanan antara Pusa dan Beladin daripada 30 minit kepada hanya beberapa minit,” ujarnya.
Projek itu juga kata Aidel berperanan sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Pan Borneo Sarawak serta akan memberikan akses lebih baik kepada penduduk tempatan ke sekolah, klinik, hospital dan pejabat kerajaan, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
Terdahulu, Aidel memaklumkan Kerajaan Sarawak membina secara serentak 14 buah jambatan di laluan Jalan Pesisir dan Jalan Jajaran Utama Kedua Sarawak dan dua lagi dibina di kawasan lain.
Dua daripada jambatan berkenaan katanya iaitu Jambatan Kemena di Jepak, Bintulu dan Jambatan Pasi di Batang Rajang, Sarikei masing-masing akan siap pada Februari dan Mac ini.
Untuk rekod, salah satu jambatan yang sudah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada tahun ini ialah Jambatan Batang Lassa. -TVS