KUCHING, 22 Jan: Dalam usaha meningkatkan autonomi dan kemampanan, Sarawak mencatat sejarah baharu dengan langkah-langkah progresif dalam tadbir urus alam sekitar, pelaksanaan dasar hijau, dan pemerkasaan pembangunan lestari.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata menerusi Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang diluluskan pada November lalu menandakan peralihan kuasa penting.
Jelasnya, ini melibatkan peranan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) yang kini mengambil alih tanggungjawab daripada Jabatan Alam Sekitar Persekutuan.
“Bermula tahun 2025, pengurusan sisa terjadual kini di bawah kendalian Sarawak, sekali gus membolehkan dasar alam sekitar dirangka mengikut keperluan negeri ini.
“Pemindahan kuasa ini adalah satu pencapaian besar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dimana ia memberi peluang kepada Sarawak untuk memimpin dalam pembangunan lestari dan memacu ekonomi hijau,” katanya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) ke-11, di Kuching, pada Rabu.
Tambah beliau, kerajaan negeri komited menyediakan sumber, teknologi, dan pembangunan kapasiti untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan.
Katanya, inisiatif seperti Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) terus menginspirasi usaha ke arah kecemerlangan dalam kemampanan. -TVS