Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak - Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Sarawak perlu graduan kreatif, inovatif untuk kemajuan ekonomi – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 22 Jan: Graduan dengan kemahiran inovatif dan kreatif kini menjadi aset penting dalam usaha Sarawak melonjak keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana melalui transformasi ekonomi yang memerlukan pendekatan baharu dengan memanfaatkan teknologi terkini dan disiplin pelbagai bidang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi yang hanya berorientasikan keuntungan sederhana tidak mencukupi untuk menjamin kemakmuran jangka panjang.

Beliau menegaskan keperluan untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu mencipta nilai tinggi melalui Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Graduan perlu bersedia menghadapi cabaran baharu dengan asas kemahiran yang kukuh serta keupayaan mencipta produk dan penyelesaian kompetitif di peringkat global.

“Sarawak perlu melatih generasi yang memahami bidang seperti perubahan iklim, teknologi penjagaan kesihatan dan pengurusan karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di Wisma Bapa Malaysia, petang ini.

Program GETS-WRP adalah latihan praktikal selama 12 bulan yang direka untuk membantu graduan Sarawak memperoleh kemahiran praktikal dalam pelbagai industri.

Melalui program ini, pelatih akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500 dan menjalani latihan industri di sektor awam serta swasta.

Sesi pertama bermula pada Januari, diikuti sesi kedua pada April dan sesi ketiga pada Julai dengan sasaran melibatkan 1,000 lepasan graduan Sarawak.

Tambah beliau, program TVET menjadi keutamaan untuk membangunkan graduan yang memenuhi keperluan sektor ekonomi moden.

Sementara itu, graduan TVET dalam bidang seperti kejuruteraan dan kimia diharap dapat menyumbang kepada industri berteknologi tinggi termasuk hidrogen hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan gas asli.

“Sebagai contoh, teknologi elektrolyzer yang memisahkan hidrogen daripada air adalah satu bidang yang menjanjikan pendapatan tinggi. Graduan yang memahami proses ini akan menjadi aset penting kepada Sarawak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari menekankan peranan AI yang semakin mengubah landskap pekerjaan dengan memberi contoh bagaimana teknologi ini digunakan dalam penjagaan kesihatan untuk menganalisis DNA dan mencadangkan rawatan yang lebih tepat.

“AI bukan sahaja mengubah cara kerja profesional kesihatan tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kepakaran tinggi. Sarawak turut mencatat kemajuan dalam infrastruktur dan pertanian.

“Teknologi canggih digunakan untuk membangunkan pelabuhan laut dalam yang mampu menyokong kapal besar, manakala mesin moden dalam sektor pertanian meningkatkan produktiviti sehingga sembilan kali ganda.Ini adalah bukti bagaimana teknologi dapat mengubah landskap pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat,” tambahnya.

Abang Johari menyeru graduan untuk mengambil peluang melalui program latihan strategik yang dirangka kerajaan.

Menurutnya, graduan bukan sahaja perlu meningkatkan kemahiran tetapi juga menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing untuk memacu ekonomi negeri ke arah yang lebih inovatif dan berdaya saing.

“Graduan yang dilatih dalam TVET, Sains, Teknologi dan AI akan menjadi pemacu ekonomi Sarawak, memastikan kita tidak lagi terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana. Dengan pemikiran kreatif dan inovasi, kita mampu bersaing di pasaran global,” tegas beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan