Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah pada 13 Januari lalu yang melibatkan enam keluarga. Foto Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah

Sarawak naikkan kadar bantuan bencana, ringankan beban rakyat

ByAsmah Adenan

KUCHING, 22 Jan: Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana yang diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat kejadian bencana alam.

Bantuan terbabit diberikan sebagai sokongan kewangan bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian dan memenuhi keperluan asas bagi mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat melalui tindakan proaktif dan berkesan yang menyumbang kepada kelestarian sosial dan ekonomi.

“Kenaikan kadar baharu Bantuan Bencana termasuk Bekalan Makanan peringkat awal secara ‘one-off’ diselaraskan pada kadar RM75 pek bagi bilangan isi rumah satu hingga lima orang.

“Selain itu, bantuan segera secara ‘one-off’ yang merangkumi wang saku sebanyak RM100 dinaikkan kepada RM200 seorang, Pakaian Harian dari RM200 kepada RM300, Makanan Kering dari RM50 kepada RM100 dan Kelengkapan Tidur dari RM100 kepada RM200 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis  Sejambak Kasih Tahun 2025 Bahagian Kuching di hotel Imperial, hari ini.

Manakala kata Fatimah, Bantuan Persekolahan yang merangkumi pakaian sekolah dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan peralatan sekolah dari RM100 kepada RM200.

Seterusnya beliau memberitahu bagi Bantuan Peralatan Dapur dari RM700 kepada RM1,000 bagi satu rumah, Bantuan Makanan Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dari RM25 kepada RM50 seorang, Bantuan Makanan Kering dari RM50 kepada RM100 untuk satu pek seorang bagi tempoh satu minggu bagi mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan lain-lain kecuali kemarau serta Bantuan Perlindungan dari RM5,000 kepada RM10,000 bagi sebuah rumah.

“Pemberian kadar Bantuan Perlindungan adalah tertakluk kepada peratus kerosakkan dengan bantuan minimum sebanyak RM1,000 hingga RM2,500 untuk 25 peratus kerosakkan, RM5,000 untuk 50 peratus kerosakkan, RM7,500 untuk 75 peratus kerosakkan dan RM10,000 untuk 100 peratus musnah.

“Ini adalah satu usaha kerajaan untuk membantu mangsa yang ditimpa musibah dan kita selalu nasihat kalau ia melibatkan rumah dan memohon untuk membina rumah ada baiknya berbincang bersama dengan pihak Pejabat Residen atau Pegawai Daerah untuk mendapatkan bantuan untuk rumah,” katanya.

Terdahulu, Fatimah turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah pada 13 Januari lalu yang melibatkan enam keluarga.

Kebakaran tersebut berlaku di Taman Kenyalang Park dan telah memusnahkan sebuah rumah kosong dan enam buah rumah yang berpenghuni melibatkan 18 mangsa.

Untuk rekod, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan sebanyak RM49,300 bagi membantu 18 mangsa terlibat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan