KUCHING, 22 Jan: Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains, Teknologi dan Perladangan menzahirkan komitmen penuh terhadap pembangunan teknologi hijau dengan menjadikan Sarawak sebagai contoh utama dalam pelaksanaan tenaga bersih di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, tujuan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari ini adalah untuk bertukar-tukar pandangan tentang kemajuan penting alam sekitar dan saintifik, khususnya mengenai usaha perintis Sarawak dalam teknologi hidrogen.
“Kami berkunjung ke sini untuk meninjau beberapa perkembangan berkaitan dengan teknologi hidrogen, di mana Sarawak telah mempelopori usaha sulung dalam bidang teknologi hidrogen.
“Kami telah melawat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Energy Berhad untuk menerima taklimat mengenai teknologi hidrogen dan memerhati projek perintis, termasuk bas dan kereta berkuasa hidrogen,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat berkenaan di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Beliau turut memuji pelaksanaan Sarawak dalam teknologi hidrogen dengan menyifatkan usaha itu sebagai pelaburan strategik yang mampu menyokong agenda nasional untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Menurutnya, Sarawak telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam tenaga hijau, mencapai peratusan besar pengeluaran tenaga daripada sumber bebas karbon seperti hidrogen dan hidroelektrik.
“Ini antara salah satu perkara yang kita akan cuba ketengahkan di peringkat nasional, supaya negeri-negeri lain boleh mencontohi Sarawak,” ujarnya.
Antara ahli jawatankuasan berkenaa yang hadir ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon@Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Padang Serai, Dato’ Azman Nasrudin – TVS