KUALA LUMPUR, 22 Jan: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melancarkan filem web berjudul ‘Stay’ bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
Filem pendek arahan Caleb Huang itu mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal yang terpaksa berpisah dan meninggalkan anaknya, Xiao Bao bersama saudara mara demi kelangsungan hidup.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS, Siti Azlina Abd Latif berkata filem itu menggariskan nilai-nilai kekeluargaan yang akan menyentuh hati rakyat Malaysia.
“Filem ini mengingkatkan kita semua tentang nilai empati, belas kasihan dan prinsip saling mengambil berat yang tertanam dalam budaya keluarga di Malaysia,” katanya.
Siti Azlina berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama media bersempena Tahun Baharu Cina dan pelancaran Filem Web Stay.
Tambah Siti Azlina, filem web itu boleh ditonton bermula hari ini di semua platform rasmi PETRONAS serta media sosial mereka.
Sementara itu, dalam mengangkat nilai kekeluargaan, Siti Azlina berkata PETRONAS juga akan menyerahkan sumbangan pek perayaan kepada 2,100 buah keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara bersempena perayaan itu.
“Kami ingin menyemarakkan keceriaan perayaan kepada mereka yang kurang berkemampuan di bawah inisiatif Yayasan Petronas Uplifting Lives iaitu memacu kehidupan bersempena semua sambutan perayaan,” katanya.
Kata beliau, sumbangan yang turut diusahakan oleh usahawan Program MEKAR itu akan diserahkan kepada rakan kerjasama program, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – TVS.