SINGAPURA, 22 Jan: Lapangan Terbang Changi Singapura mengendalikan 67.7 juta penumpang pada 2024, peningkatan 14.8 peratus tahun ke tahun, menurut pengendali lapangan terbang itu.
Changi Airport Group (CAG) berkata angka itu adalah 99.1 peratus daripada pergerakan penumpang yang direkodkan pada 2019, sebelum pandemik COVID-19.
“Pergerakan pesawat berjumlah 366,000 pada 2024, meningkat 11.5 peratus berbanding 2023. Sebanyak 1.99 juta tan jumlah muatan pengangkutan udara direkodkan pada tahun itu, melepasi paras 2023 sebanyak 14.6 peratus,” menurut CAG dalam satu kenyataan pada Rabu.
CAG berkata Disember adalah bulan paling sibuk tahun ini, dengan 6.4 juta penumpang, kali pertama trafik bulanan melebihi enam juta sejak Disember 2019, manakala hari paling sibuk adalah pada 21 Dis dengan 226,000 penumpang.
Asia Utara merupakan pasaran yang paling pesat berkembang bagi Lapangan Terbang Changi pada 2024, mencatatkan peningkatan 40 peratus berbanding 2023. Lima pasaran penumpang utama Changi tahun ini ialah China, Indonesia, Malaysia, Australia dan Thailand.
China ialah pasaran sumber terbesar Changi pada 2024, dengan trafik penumpang hampir dua kali ganda berbanding 2023 dan melepasi paras pra-COVID sebanyak enam peratus, manakala Hong Kong dan Jepun merekodkan pertumbuhan ketara melebihi 20 peratus tahun ke tahun.
CAG berkata Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Denpasar (Bali) dan Hong Kong adalah laluan paling sibuk di Lapangan Terbang Changi pada tahun itu.
Pertumbuhan turut dicatatkan dalam semua aliran kargo – eksport, import dan pemindahan penghantaran – yang didorong oleh peningkatan besar dalam aliran kargo antara Singapura dengan China serta Amerika Syarikat (AS).
Lima pasaran kargo udara teratas untuk Changi pada 2024 ialah China, Australia, AS, Hong Kong dan India.
Lapangan Terbang Changi mengalu-alukan lapan syarikat penerbangan penumpang baharu dan menambah 11 laluan bandar baharu ke rangkaiannya tahun lepas, termasuk Melaka, Broome, Brussels, Guiyang, Kertajati, Lhasa, Linyi, Phu Quoc, Quanzhou, Vancouver dan Wenzhou.
“Lebih banyak laluan baharu yang menarik sudah dalam perancangan, dan pengembara boleh menjangkakan destinasi baharu termasuk Labuan Bajo mulai Mac dan Vienna mulai Jun tahun ini,” tambah CAG.
Ia juga mengalu-alukan dua syarikat penerbangan kargo baharu dan dua laluan bandar kargo baharu yang menghubungkan Singapura ke Haikou dan Nagoya.
Setakat Januari 2025, sebanyak 100 syarikat penerbangan mengendalikan lebih 7,400 penerbangan berjadual mingguan di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura ke 163 bandar di 49 negara dan wilayah di seluruh dunia. – TVS