Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kemajuan projek pembinaan Jambatan Batang Saribas menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka siap dan dibuka lebih awal daripada perancangan asal. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Jambatan Batang Saribas dijangka dibuka Mac 2025

ByFebbright James

SARIBAS, 22 Jan: Kemajuan projek pembinaan Jambatan Batang Saribas menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka siap dan dibuka lebih awal daripada perancangan asal.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo yang berkata demikian, menambah, jambatan yang menelan kos RM375.5 juta itu dijangka siap pada Mac 2025, berbanding perancangan asal pada Mei tahun ini.

Datuk Aidel Lariwoo pada Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Saribas. Foto Zaim Zharfan (TVS)

“Jambatan ini mungkin akan siap lebih awal daripada jangkaan asal, iaitu bulan Mei, dan kami berharap ia dapat disiapkan sebelum Hari Raya bagi memudahkan pengguna. Usaha sedang dilakukan untuk sekurang-kurangnya membukanya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Status pembinaan Jambatan Batang Saribas kini mendahului jadual sebanyak dua peratus (91.12 peratus), manakala kemajuan Jambatan Batang Saribas 2 juga berada dalam lingkungan jadual, iaitu 51 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyambungan Akhir Jambatan Batang Saribas di sini, hari ini. Aidel mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Meskipun kemajuan projek ini seperti yang dirancang, Aidel mengakui pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran.

“Tanah di sini tidak begitu stabil dan sekata serta mempunyai kedalaman sehingga 80 meter. Namun, ia masih dapat dibangunkan dengan kaedah terkini serta kepakaran kontraktor,” ujarnya.

Jambatan Batang Saribas merupakan salah satu komponen penting dalam Projek Jalan Pesisir Sarawak.

Projek ini melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 1.55 kilometer dengan laluan jalan dua lorong, jalan baru, serta penaiktarafan jalan sedia ada di kedua-dua kawasan Pusa dan Beladin.

Matlamat utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan jalan di kawasan tersebut, menggantikan perkhidmatan feri dan mempercepatkan perjalanan antara Pusa dan Beladin daripada 30 minit kepada hanya beberapa minit.

Projek ini juga berperanan sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Pan Borneo Sarawak serta akan memberikan akses lebih baik kepada penduduk tempatan ke sekolah, klinik, hospital dan pejabat kerajaan, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan