Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di Kuching pada Selasa. Foto Aziz Soleh (TVS)

Inovasikan kehakiman Syariah selari visi e-Kerajaan Sarawak

KUCHING, 22 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) untuk mengadaptasi inovasi dan menyelaraskan perkhidmatannya selari dengan visi e-Kerajaan Sarawak.

Usaha ini, menurut Abang Johari, penting untuk memastikan relevansi dan keberkesanan kehakiman Syariah dalam era transformasi digital dan globalisasi.

Abang Johari berkata keutamaan harus diberikan kepada mengintegrasi teknologi canggih, termasuk kecerdasan buatan (AI), dalam pentadbiran mahkamah Syariah.

“Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama.

“Ini adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan,” ujar beliau.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Makan Malam bersempena dengan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru JKSS untuk terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perundangan Syariah dari pelbagai aspek.

“Saya berharap agar JKSS terus mencari inisiatif-inisiatif baharu bagi meningkatkan tatakelola penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan dalam bidang kehakiman dan perundangan,” kata Abang Johari.

Tegas Abang Johari, kesemua sektor perkhidmatan awam harus berjalan seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Untuk itu, undang-undang Syariah memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian sosial, kestabilan, dan keterangkuman, selaras dengan elemen inklusiviti sosial yang diterapkan dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Kita melihat peranan perundangan syariah sebagai komponen penting dalam membina masyarakat yang inklusif, harmoni, dan berintegriti.

“Kehakiman syariah harus terus menjadi tonggak kepada kestabilan sosial dan rohani, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” kata Abang Johari.

Abang Johari juga mengulangi komitmen Sarawak terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memastikan kebajikan masyarakat Islam di wilayah ini.

“Institusi kehakiman syariah di wilayah ini akan terus memastikan prinsip keadilan, kesaksamaan, dan keutuhan institusi kehakiman dapat dicapai demi manfaat semua lapisan masyarakat Islam di Sarawak ini,” kata beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan