Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ibu kepada dua beradik yang maut dalam kejadian tanah runtuh, Ruziah Fuad, 47, bercakap semasa ditemui di Kampung Bukit Apit, hari ini. Foto Bernama

Ibu dua beradik korban runtuhan di Ajil masih dihantui tragedi ngeri

ByBernama

KUALA BERANG, 22 Jan: Ibu kepada dua beradik yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini pada 29 Nov tahun lepas, masih tidak dapat melupakan kejadian ngeri menimpa anak perempuannya itu.

Ruziah Fuad, 47, berkata meskipun reda, perasaan bersalah sesekali menghantui dirinya kerana tidak dapat menyelamatkan Puteri Sajidah Azman, 16, dan Siti Fatimah, 13.

“Sewaktu kejadian hujan sangat lebat dan saya tiada di rumah kerana ke kedai membeli barang dapur. Tiba-tiba, orang kampung datang dan menyuruh saya pulang dengan segera.

“Setibanya di kawasan rumah, hati saya sudah berdebar-debar kerana melihat ada kenderaan bomba dan polis … orang kampung juga sudah ramai berkumpul, kemudian barulah saya nampak sebahagian rumah runtuh ditimpa tanah,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Bukit Apit di sini hari ini.

Ibu tunggal itu berkata anak lelakinya, Mohd Razif, 20, yang trauma kerana menyaksikan kejadian terbabit di depan mata, kini sudah semakin pulih dan mula bekerja.

Selepas kejadian itu, katanya anak ketiga daripada tujuh beradik terbabit enggan keluar rumah dan bercakap dengan sesiapa kerana dihambat perasaan bersalah dan terlalu sedih apabila kehilangan dua adik perempuannya sekelip mata.

“Ketika kejadian petang itu, arwah berada di ruang tamu menyiapkan kerja sekolah sementara Mohd Razif tidur di dalam bilik, selepas mendengar bunyi dentuman kuat, dia keluar dari bilik dan mendapati adiknya sudah berada di bawah runtuhan siling.

“Dia cuba mengangkat runtuhan terbabit, namun tidak berjaya, akhirnya dia terpaksa berlari keluar menyelamatkan diri kerana berlaku runtuhan tanah kali kedua,” katanya dan menambah dia bersyukur kerana ramai pihak bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada keluarganya.

Ruziah yang berniaga kuih secara kecil-kecilan ketika ini tinggal di rumah sewa yang ditanggung Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tempoh setahun.

“Selepas kehilangan suami akibat kanser otak enam tahun lepas, kehidupan kami semakin sukar dan terpaksa bergantung pada wang hasil jualan kuih dan pisang goreng serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM,” kata wanita yang berasal dari Ampang, Selangor itu.

Kesusahan Ruziah turut mendapat perhatian Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang meluangkan masa melawat keluarga berkenaan hari ini, serta turut menghulurkan sumbangan tunai bagi meringankan beban keluarga itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan