KUCHING, 22 Jan: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM23 juta untuk pembangunan Program Latihan Pemantapan Siswazah Sarawak – Program Kesediaan Kerja (GETS-WRP) pada tahun ini.
Program anjuran Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) itu merupakan inisiatif untuk menyediakan latihan pembangunan dalam kepimpinan kepada para graduan di wilayah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim Jit Sek berkata program itu turut melatih siswazah Sarawak dengan kemahiran, pengetahuan serta pengalaman kerja yang diperlukan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.
“Perbelanjaan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan belia dan kesediaan tenaga kerja sekali gus mempersiap graduan untuk peluang tempatan dan global.
“GETS-WRP berupaya menangani pengangguran siswazah dan menyediakan anak muda Sarawak untuk tenaga kerja mahir,” katanya di Majlis Perasmian GETS-WRP di Wisma Bapak Malaysia, di sini, hari ini.
Joseph dalam pada itu mendedahkan usaha yang dilakukan itu memberi pendekatan kepada siswazah lepasan universiti mendalami akademik dan industri pekerjaan serta memastikan Sarawak terus melahirkan graduan yang berkualiti.
“Matlamat GETS-WRP adalah untuk mendekatkan jurang di antara akademik dan industri bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan. Apa yang kami lakukan ini adalah agar majikan berminat untuk memberi pekerjaan kepada graduan di samping mengurangkan pengangguran di Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya SCOPE telah mencipta modul baharu untuk menambahkan kualiti dan potensi graduan melalui GETS-WRP bagi memastikan graduan mempunyai nilai kebolehpasaran dalam industri.
“Modul ini akan meningkatan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan. Kami mempunyai enam modul iaitu komunikasi, psikologi, perniagaan, intergriti, artikal, nilai dan semua itu. Mereka juga mempunyai latihan secara berkumpulan untuk memastikan mereka boleh bekerja dalam sesebuah kelompok,” tambahnya.
Joseph turut mendedahkan pihaknya menyasar seramai 1,000 pelatih menyertai program terbabit dengan melibatkan tiga pengambilan iaitu Januari 2025, April 2025 dan Julai 2025.
Sebagai rekod, program GETS telah berjaya membantu lebih daripada 35 peratus pelatih mendapat pekerjaan tetap pada 2022. – TVS