Pengarahnya Abdul Hamediee Ibrahim berkata enam kawasan itu ialah Matang dan Haji Baki di Kuching, Kampung Baru dan Tanjung Bundong (Samarahan), Bekenu dan Batu Niah (Miri).
Beliau berkata lanjutan daripada program berkenaan yang akan berakhir tahun ini membawa kepada Indikator Dadah Terkawal 2025.
“Bagi Sarawak, kadar prevalen adalah masih terkawal iaitu pada kadar 369 orang daripada 100,000 penduduk berbanding kadar prevalen peringkat antarabangsa antara 400 orang daripada 100,000 penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) melibatkan 260 pekerja syarikat kontraktor penyelenggaraan Loji Hidroelektrik Bakun (Bakun HEP) yang berlangsung dua hari di Belaga dan berakhir pada Isnin.
Program TEKAD adalah lanjutan daripada pelaksanaan program TEKAD Sarawak Energy Berhad (SEB) melibatkan 1,019 petugas dan telah dilaksanakan pada penghujung 2024.
Abdul Hamediee berkata polisi syarikat dan penubuhan Jawatankuasa Antidadah (JAD) di tempat kerja amat penting kerana majikan perlu peka tentang isu penyalahgunaan dadah dan bahan (substance) yang berlaku dalam organisasi.
Beliau berkata melalui program berkenaan, ujian saringan urin terhadap petugas dan kontraktor yang terlibat secara langsung dengan Bakun HEP sebagai langkah pencegahan awal serta memastikan persekitaran tempat kerja bebas dadah.
Pada program itu, Abdul Hamediee menawarkan pelaksanaan Program Pensijilan Saringan dan Pengujian Dadah di Tempat Kerja (CDST) kepada pihak Bakun HEP untuk memberi latihan dan pentauliahan kepada pegawai dan warga SEB bagi menjalankan ujian saringan urin secara berjadual ke atas pekerja syarikat dan kontraktor.
AADK Sarawak melaksanakan ujian urin kepada 169 jabatan kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan penglibatan 5,280 pekerja pada 2024 dan daripada jumlah itu 51 orang didapati positif dadah.
Beliau berkata pelaksanaan Program TEKAD ini satu usaha dan tindakan wajar dan perlu disokong penuh oleh pihak majikan serta pekerja agar terhindar daripada musibah dadah.