Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gempa bumi bermagnitud 6.4 dan beberapa kejutan lanjur melanda selatan Taiwan awal pagi Selasa, mengakibatkan rumah dan jalan runtuh, dengan puluhan cedera serta 50 orang terperangkap di perkampungan mereka. Foto AFP

26 cedera, 50 terpisah akibat gempa bumi di Taiwan

ByBernama

TAIPEI, 22 Jan: Gempa bumi bermagnitud 6.4 dan beberapa kejutan lanjur melanda selatan Taiwan awal pagi Selasa, mengakibatkan rumah dan jalan runtuh, dengan puluhan cedera serta 50 orang terperangkap di perkampungan mereka, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, sebanyak 26 individu dilaporkan cedera dan telah dihantar ke hospital sehingga lewat pagi Selasa.

Di Kampung Xixing, Daerah Dapu di Wilayah Chiayi, yang merupakan pusat gempa, kerosakan teruk dilaporkan, dengan jalan masuk ke kampung terlibat terhalang, menyebabkan kira-kira 50 penduduk terasing.

Pejabat dan sekolah di Dapu ditutup pada Selasa berikutan kerosakan itu.

Sementara itu, lapan individu yang sebelum ini terperangkap dalam bangunan di Bandar Tainan dan Chiayi telah berjaya diselamatkan, menurut Agensi Bomba Kebangsaan.

Di Daerah Jiasian, Kaohsiung, jalan yang terhalang akibat batu-batu yang jatuh telah dibersihkan oleh Biro Lebuh Raya.

Manakala di Perbandaran Haituan, Taitung, jalan raya yang terhalang oleh cerun yang runtuh dijangka dibuka untuk laluan sehala menjelang tengah hari dan kembali kepada dua hala pada pukul 3 petang.

Gempa bumi utama melanda Chiayi pada pukul 12.17 tengah malam dengan intensiti tertinggi dicatatkan di Dapu pada tahap 6- dalam skala intensiti 7 tingkat Taiwan, yang menggambarkan tahap kesukaran untuk berdiri, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).

Sehingga pukul 3.30 pagi, hampir 50 kejutan lanjur telah direkodkan di selatan Taiwan, dengan yang terkuat bermagnitud 5.2 pada pukul 1.42 pagi, menurut data CWA. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan