WASHINGTON, 21 Jan: Pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump pada Isnin menghentikan operasi sebuah aplikasi mudah alih yang membolehkan migran membuat janji temu di sempadan AS-Mexico, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Berkuat kuasa 20 Januari 2025, fungsi CBP One™ yang sebelum ini membolehkan pendatang tanpa dokumen menyerahkan maklumat awal dan menjadualkan janji temu di lapan pintu masuk di sempadan barat daya AS tidak lagi tersedia, dan semua janji temu sedia ada telah dibatalkan,” menurut notis di laman sesawang Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).
Aplikasi itu sebelum ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada migran, termasuk semakan masa menunggu di sempadan dan permohonan kemasukan sementara I-94.
Penutupan ini, yang dilakukan pada hari pelantikan Trump sebagai Presiden AS ke-47, merupakan sebahagian daripada langkah untuk memperketat kawalan ke atas migrasi di sempadan.
Dalam kenyataan di Capitol Rotunda, Trump berkata beliau akan menandatangani beberapa perintah eksekutif, termasuk tindakan untuk memperketatkan migrasi, pengisytiharan darurat di sepanjang sempadan AS-Mexico, dan serbuan imigresen di seluruh negara.
Trump dijangka menandatangani 10 perintah eksekutif berkaitan sempadan. -TVS