LAWAS, 21 Jan: Sepasang suami isteri maut dalam nahas jalan raya di Kampung Berayung Baru, Jalan Trusan tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Clarence D. Primus Tiandun dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 1.11 tengah hari tadi dan terus menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati sebuah lori mengangkut batu 10 tan yang menuju ke Bandar Trusan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang menuju ke arah bertentangan.
“Mangsa yang menaiki kenderaan Proton Saga merupakan pasangan suami isteri dikenali Peranchis Nani, 67 dan Raminah Tadam, 69, difahamkan sedang menuju ke Kampung Long Tengoa. Kedua-duanya ditemui tersepit di bahagian pemandu dan penumpang bahagian hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak bomba bertindak dengan memotong pintu hadapan kenderaan menggunakan ‘power rescue unit’ bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa (pasangan suami isteri) itu meninggal di lokasi kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – TVS