Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan mulai esok melibatkan peruntukan RM2.3 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun lepas. Foto TVS

STR Fasa 1 RM2.3 bilion disalur mulai esok – MOF

ByBernama

PUTRAJAYA, 21 Jan: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan mulai esok melibatkan peruntukan RM2.3 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun lepas.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran akan dibuat melalui pengkreditan ke akaun bank penerima berdaftar atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

“Secara keseluruhan program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.

“Bagi STR dan SARA 2025, kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang sama berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat negara ini bertambah baik walaupun berlaku peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun dan sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

MOF menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan