KUALA LUMPUR, 21 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras pelbagai jenama dan dagangan kontena berduti bernilai RM1.678 juta di Lembah Klang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata keseluruhan rampasan dan tangkapan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) terhadap tiga kes komoditi tidak berkastam.
Katanya, serbuan pertama pada 9 Januari lalu di sebuah Gudang di Kawasan Perindustrian Balakong di Selangor menemukan minuman keras berjumlah 2,488 liter dengan nilai rampasan RM157,716.
“Kes ini masih lagi dalam siasatan namun kami berjaya menahan empat lelaki warga asing dalam lingkungan usia 30 hingga 45 tahun,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam WPKL di sini, hari ini.
Jelasnya, modus operandi yang dijalankan adalah dengan menyewa gudang di kawasan perindustrian bagi menyimpan bekalan minuman keras sebelum diedar ke pasaran tempatan.
Sementara itu, kes kedua pula membabitkan cubaan pengedaran minuman keras tidak berkastam di gudang persendirian di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan di Selangor oleh unit sama.
Kata beliau, sejumlah 7,804 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan berjumlah RM310,680 dirampas dengan duti terlibat sebanyak RM717,450.
“Untuk kedua-dua kes ini, ia disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import,” katanya.
Sementara itu, kes ketiga membabitkan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki yang cuba membawa masuk dagangan produk minuman tenaga berduti sebanyak 24,600 liter dianggarkan berjumlah RM172,200.
Norlela berkata tahanan dilakukan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di Selangor.
“Modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran yang tidak benar iaitu Assorted Food Beverage di Borang Kastam 1 bagi mengelak duti eksais ketika pengimportan berlaku,” katanya. – TVS.