SHAH ALAM, 21 Jan: Seksyen 2 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Shah Alam (SAE) akan dibuka kepada pengguna bermula 12:01 tengah malam pada 22 Januari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembukaan seksyen tersebut akan memendekkan masa perjalanan antara Shah Alam dan Banting kepada 20 minit berbanding sejam sebelum ini.
Kata beliau, kemudahan itu menjadi pelengkap terpenting kepada Pelabuhan Klang yang merupakan hab logistik terbesar di Asia Tenggara.
“Ia akan memudah dan mempercepat perjalanan dan menarik pelaburan kawasan industri dan pelabuhan, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Ini adalah sangat penting sebagai pemboleh kepada pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pembukaan Rasmi Seksyen 2 WCE Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE di Plaza Tol WCE.
Tambah Alexander Nanta, jajaran sepanjang 7.2 kilometer (KM) itu adalah kesinambungan keapda jajaran Seksyen 1 WCE.
Mengenai pembayaran tol, Alex berkata tol percuma akan dilaksanakan selama satu bulan dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE dan sebaliknya.
Sementara itu, mengenai Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Alexander Nanta menjelaskan sebanyak tiga seksyen bagi lebuhraya itu dengan jarak 45 km masih dalam pembinaan.
“WCE ini dari Selangor hingga Perak (dengan) bahagian Perak telah siap sepenuhnya.Jangkaan (siap) 2026, kita akan percepatkan,” katanya. – TVS