KUCHING, 21 Jan: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkukuh institusi perundangan dan kehakiman syariah, sejajar dengan usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu dilaksanakan dengan mempertahan serta memperkasakan peranan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) melalui pelbagai inisiatif, termasuk penambahbaikan bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie, dan peningkatan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah.
“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi perundangan dan kehakiman syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam bersempena dengan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Beliau dalam pada itu turut menekankan tanggungjawab besar yang dipikul oleh para Hakim Syarie, Pegawai Syariah, Pendakwa Syarie, dan pengamal undang-undang syariah lain dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.
“Anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti.
“Insya-Allah, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT,” ujar beliau.
Menurut Abang Johari, perundangan syariah memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Islam ke arah kehidupan yang lebih harmoni, seimbang dan patuh kepada syariat Islam.
“Sarawak sebagai sebuah negeri yang unik dengan kepelbagaian etnik dan budaya sentiasa menekankan keharmonian antara kaum dan agama.
“Maka, perundangan syariah adalah salah satu tonggak yang menyokong kestabilan sosial dan perpaduan kita,” tambah Abang Johari.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier, Datuk Juanda Jaya, Timbalan Menteri Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, dan Ketua Hakim Syariah, Datu Awang Suhaili Ledi. – TVS