KUCHING, 21 Jan: Kerajaan Johor menjadikan Sarawak sebagai contoh dalam usaha memperkasakan pembangunan industri lada hitam di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata ini susulan pengumuman Belanjawan 2025 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan lada hitam.
Menurutnya, Sarawak dipilih kerana penanaman lada hitam di negeri ini dijalankan secara individu, bukan oleh syarikat besar.
“Justeru, ia sesuai dijadikan contoh untuk melaksanakan program penanaman lada hitam di Johor, di mana kami ingin memulakannya secara kecil-kecilan.
“Peruntukan RM500,000 itu akan digunakan untuk membangunkan 10 hektar tanah bagi penanaman lada di Johor,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) hari ini.
Beliau menambah bahawa ketika ini Johor hanya mempunyai kira-kira 20 hektar tanah untuk penanaman lada, melibatkan sekitar 100 pekebun.
Pengeluaran lada hitam kini sekitar 78 metrik tan setahun, yang masih kecil berbanding dengan jumlah import lada hitam dari luar negara di Semenanjung Malaysia yang mencapai 3,000 tan setahun.
“Ini merupakan peluang besar bagi Johor untuk mengusahakan penanaman lada hitam ini. Kami berharap lawatan ini dapat membantu kami membangunkan program penanaman lada di Johor,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPB, Vincent Sawat, menyatakan bahawa pihaknya menyambut baik kerjasama ini dan menyokong usaha kerajaan negeri dalam membangunkan industri lada, khususnya di Johor.
“Kami berhasrat untuk memperluaskan tanaman lada, dan sokongan kerajaan negeri dalam bentuk bantuan akan menjadi motivasi kepada kami.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk membangunkan industri lada di Malaysia. Perbincangan pagi ini (21 Januari) akan menjadi input dalam merangka program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” tegasnya.
Terdahulu, dalam program kali ini, Zahari turut meluangkan masa melawat kilang pemprosesan serta bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di MPB, serta kebun lada di Kampung Rejoi, Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dan Kampung Begu, Padawan – TVS