KUCHING, 21 Jan: Masyarakat disarankan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kaedah pencegahan kebakaran bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan semasa perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kes kebakaran atau kemalangan sering berlaku ketika musim perayaan, namun ia boleh dielakkan dengan sikap dan persediaan yang betul.
Oleh itu, katanya, setiap individu perlu memandang serius keselamatan dan pencegahan kebakaran kerana ia berkait rapat dengan sikap dan pemikiran.
“Nyawa atau rumah anda bergantung kepada pengetahuan asas ini.
Apabila berpeluang, sertailah latihan keselamatan kebakaran untuk memahami 3L iaitu lupa, lalai, leka serta mempelajari langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kerana menganjurkan program kesedaran dan pendidikan, terutama kepada kanak-kanak tadika yang mampu menyerap ilmu dan berkongsi dengan keluarga mereka,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Sarawak di Wisma Wan, Tabuan Jaya, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa orang ramai untuk mengenal pasti lokasi pili bomba di kawasan mereka dan memastikan ia berfungsi dengan baik.
“Jangan beritahu saya anda tidak tahu di mana pili bomba anda berada.
“Jika pili bomba rosak atau bocor, sila maklumkan kepada pihak bomba.
Lebih baik lagi, jadilah penjaga pili bomba di kawasan anda untuk komuniti setempat,” katanya.
Dr Sim turut berharap agar kes kebakaran dan kemalangan sempena Tahun Baharu Cina di Sarawak dapat dikurangkan supaya masyarakat dapat menikmati kegembiraan perayaan dengan selamat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran, dalam ucapannya berkata, pihaknya komited sepenuhnya untuk memberikan kesedaran dan pendidikan pencegahan kebakaran kepada masyarakat tanpa mengira peringkat umur atau latar belakang.
“Semasa musim perayaan, kami mengenal pasti hotel, restoran, pusat beli-belah, dan pasar raya sebagai lokasi panas yang menjadi tumpuan ramai.
“Kawasan ini berpotensi menjadi risiko kebakaran, dan kami menasihatkan pemilik premis supaya berwaspada dan meningkatkan langkah keselamatan kebakaran di premis masing-masing,” katanya.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng, dan Pengarah Urusan IJK Construction Sdn Bhd Datuk Alex Ting Kuang Kuo – TVS