KUCHING, 21 Jan: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) bersedia menyalurkan peruntukan bagi penganjuran Bengkel Kesiapsiagaan Komuniti dan Pengurangan Risiko dalam usaha dalam melahirkan komuniti lebih selamat.
Menterinya, Datuk Amar Sim Kui Hian berkata usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Stampin itu memberi pemahaman kepada komuniti setempat untuk bersiap siaga menghadapi kecemasan.
“Kita harus bersedia dalam sebarang kecemasan. Oleh itu, teknologi juga mampu membantu bagi mempercepat penyelamatan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata demikian pada majlis penutupan Bengkel Kesiapsiagaan Komuniti & Pengurangan Risiko di Ang Cheng Ho Innovation Hub, Batu Kawa di sini, hari ini.
Terdahulu, BSMM Stampin memperkenalkan potensi menyelamatkan nyawa menggunakan Automated External Defibrillators (AED), dron, kenderaan pacuan empat roda dan perkhidmatan ambulans.
Langkah proaktif yang dilaksanakan itu menurut Dr Sim bukan sahaja memberi kesan positif kepada masyarakat setempat, malah dapat membantu menyelamatkan nyawa.
“Jika berlaku sebarang kecemasan, komuniti merupakan individu pertama yang akan datang membantu sebelum anggota penyelamat tiba. Semua komuniti seharusnya mempunyai AED sebagai langkah pertama jika berlaku kecemasan, terutamanya komuniti yang berisiko,” katanya. -TVS